26.1.23

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗞𝗔𝗬𝗨𝗛𝗔𝗡 𝗦𝗔𝗡𝗧𝗔𝗜 𝗗𝗔𝗡 𝗖𝗜𝗡𝗧𝗔𝗜 𝗪𝗔𝗥𝗜𝗦𝗔𝗡 𝗝𝗘𝗥𝗔𝗜 𝗚𝗘𝗢𝗣𝗔𝗥𝗞 𝟭/𝟮𝟬𝟮𝟯

𝟮𝟲 𝗝𝗔𝗡𝗨𝗔𝗥𝗜 𝟮𝟬𝟮𝟯 (𝗞𝗛𝗔𝗠𝗜𝗦)

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗞𝗔𝗬𝗨𝗛𝗔𝗡 𝗦𝗔𝗡𝗧𝗔𝗜 𝗗𝗔𝗡 𝗖𝗜𝗡𝗧𝗔𝗜 𝗪𝗔𝗥𝗜𝗦𝗔𝗡 𝗝𝗘𝗥𝗔𝗜 𝗚𝗘𝗢𝗣𝗔𝗥𝗞 𝟭/𝟮𝟬𝟮𝟯
Program Kayuhan Santai dan Cintai Warisan Jerai Geopark 1 / 2023 ini telah diadakan pada jam 7.30 pagi bertempat di perkarangan Masjid Al-Wustha, Guar Chempedak, Yan, Kedah.
Program ini dimulakan dengan sesi pendaftaran bagi peserta kayuhan basikal di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Yan pada jam 7.30 pagi. Jarak kayuhan adalah 10 kilometer iaitu dari perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Yan sehingga ke perkarangan Masjid Al-Wustha, Guar Chempedak, Yan, Kedah.
Program Kayuhan Santai ini juga merupakan Salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh pentadbiran Daerah Yan untuk menggalakkan masyarakat untuk menghayati keindahan semulajadi yang terdapat di Daerah Yan khususnya Jerai Geopark. Di samping itu, program ini juga adalah tindakan proaktif pentadbiran Daerah Yan untuk mengetengahkan kepada masyarakat bahawa kawasan ini amat sesuai untuk aktiviti beriadah sambil menghayati sumber alam semulajadi yang unik yang terdapat di Daerah Yan
Sempena program ini, aktiviti gotong – royong turut diadakan bermula jam 9.00 pagi yang dimulakan dengan sesi taklimat pembahagian zon di perkarangan Masjid Al-Wustha, Guar Chempedak.
Terdapat 6 pembahagian zon yang telah diatur kepada beberapa jabatan / agensi / institusi / syarikat yang terlibat. Aktiviti gotong royong yang melibatkan hampir 300 orang peserta pada kali ini memberi tumpuan khusus kepada Terusan Wan Mat Saman iaitu dari kaki Gunung Jerai sehingga Kampung Batu 18 ½ yang melibatkan jarak anggaran sejauh 3 kilometer.
Program Cintai Warisan Jerai Geopark ini dianjurkan bertujuan untuk memupuk kerjasama padu dan komitmen tinggi dari semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh (stakeholders) di Daerah Yan untuk sama - sama memelihara alam sekitar dan keindahan semula jadi Jerai Geopark yang telah mendapat pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan Malaysia pada 18 Julai 2017 dan pada kali kedua pada 16 Disember 2021.
Sehubungan itu, untuk mengekalkan pengiktirafan tersebut, program-program sosial dan kempen kesedaran masyarakat perlu diadakan bagi memastikan kelestarian alam sekitar yang membentuk komponen Jerai Geopark itu sendiri.
Setelah selesai aktiviti gotong – royong, para peserta kemudiannya berkumpul di Dewan Masjid Al-Wustha bagi Majlis Penutup Program yang disempurnakan perasmiannya oleh Tuan Pegawai Daerah Yan / Yang Dipertua Majlis Daerah Yan, Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah dan Ahli Parlimen Jerai, YB Ustaz Sabri bin Azit. Program kemudiannya diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah bagi cabutan bertuah kepada para peserta yang hadir. Semua hadiah cabutan bertuah ini ditaja oleh pengurusan Kompleks Guar Utama, Guar Chempedak.
Sekalung penghargaan dan setinggi – tinggi ucapan terima kasih dirakamkan kepada semua jabatan / agensi / institusi / syarikat yang terlibat atas penyertaan program dan komitmen tinggi yang diberikan sepanjang program tersebut berlangsung.
Turut hadir menjayakan dan memeriahkan program ini ialah YB Ahli Parlimen Jerai (YB Ustaz Sabri bin Azit), Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Kedah / Perlis / Pulau Pinang ( Encik Azizan bin Ali), Tuan Setiausaha MDY (Encik Mohd Akmal bin Azimi), Ibu Pejabat Polis Daerah Yan, Ahli – Ahli Majlis MDY, Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Yan, Pejabat RELA Daerah Yan, Pejabat Agama Daerah Yan, Pejabat Environment E-Idaman Yan, Pejabat HCS Realty Guar Utama, Pejabat JKR Daerah Yan, Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat SUK Kedah, Pejabat SWCorp Pendang / Yan, Kolej Komuniti Jerai, Giat MARA Jerai, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Yan, MADA Wilayah IV, Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Yan, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Yan, Pejabat Penerangan Daerah Yan, JPKK Batu 18, Jawatankuasa Kariah Masjid Al Wustha, PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan, para Penghulu Mukim, para warga kerja Pejabat Daerah dan Tanah Yan serta seluruh warga kerja Majlis Daerah Yan.