24.6.23

PROGRAM GERAK RAHMAH 2023 : JOM BERSIH & INDAH PERINGKAT NEGERI KEDAH

 24 JUN 2023 (SABTU)-

Program Gerak Rahmah 2023: Jom Bersih & Indah Peringkat Negeri Kedah telah diadakan pada 24 Jun 2023 (Sabtu) bertempat di Pantai Murni, Yan Kedah.
Program ini dirasmikan oleh Tuan Mohamad Subhi Bin Abdullah, AMK., BCK., Pegawai Daerah Yan. Selain itu, turut hadir bersama di dalam program ini Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Kedah, Tuan Haji Ahmad Puat bin Haji Junus.
Aturcara program dimulakan dengan Program Kayuhan Santai sejauh 7 km bermula dari Pejabat Daerah dan Tanah Yan ke Pantai Murni yang turut disertai oleh Tuan Pegawai Daerah Yan, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan, KPPD (Pengurusan Tanah) merangkap Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan, Ketua Polis Daerah Yan, Penghulu Mukim Dulang dan para Ahli KRT Daerah Yan.
Ia kemudiannya disusuli dengan aktiviti Senam Harmoni bersama para jemputan dan tetamu yang hadir bertempat di Pantai Murni melibatkan hampir 200 orang peserta.
Program kemudiannya diteruskan dengan Majlis Perasmian Program oleh Tuan Pegawai Daerah Yan, Penyampaian Sijil Penghargaan Rakan Strategik kepada beberapa jabatan / agensi terpilih, Pelepasan Peserta Program Jom Bersih & Indah oleh Tuan Pegawai Daerah Yan, Pemeriksaan Kesihatan oleh KOSPEN RT, Penyampaian Hadiah dan Cabutan Bertuah, pameran dari pelbagai jabatan / agensi terpilih antaranya dari NCIA, SW Corp, APM Daerah Yan, KWSP Sungai Petani, Perbadanan Perpustakaan Negeri Kedah, Pejabat Penerangan Daerah Yan, AADK Daerah Yan, Pejabat Kesihatan Daerah Yan dan KOSPEN RT.
Program ini kemudiannya diakhiri dengan jamuan tengah hari bersama para tetamu jemputan dan peserta program.
Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Polis Daerah Yan, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda / Yan, Pengurus MADA Wilayah IV, Ketua AADK Daerah Yan, Pegawai Penerangan Daerah Yan, wakil Ketua Bomba dan Penyelamat Yan, wakil Pegawai APM Daerah Yan, wakil Pengurus KWSP Cawangan Sungai Petani, Penghulu Mukim Yan serta para guru dan pelajar dari SMKA Yan.
Tujuan program ini dianjurkan adalah bagi memupuk rasa cintakan alam sekitar dalam memelihara alam semulajadi dan meningkatkan kesedaran menjaga alam sekitar dalam kalangan komuniti rahmah dengan mangamalkan gaya hidup yang sihat.
Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kedah dan Pejabat Perpaduan Daerah Yan kerana memilih Daerah Yan bagi penganjuran program yang sangat bermanfaat seperti ini khususnya kepada komuniti setempat.
Jutaan terima kasih juga dirakamkan kepada seluruh jabatan / agensi dan masyarakat setempat atas kerjasama padu dan komitmen tinggi yang diberikan dalam memastikan kelancaran dan kejayaan program yang julung - julung kali diadakan di Daerah Yan.