13.3.22

MESYUARAT AGUNG PUSPANITA CAWANGAN KECIL DAERAH YAN TAHUN 2022

13 MAC 2022 (AHAD),

Mesyuarat Agung Tahunan PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan telah diadakan secara hibrid pada jam 3.00 petang bertempat di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah dan Tanah Yan.
Ia dimulakan dengan nyanyian lagu - lagu Negaraku dan Allah Selamat Sultan serta lagu PUSPANITA.
Agenda mesyuarat kemudiannya diteruskan dengan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan oleh Tuan Pegawai Daerah Yan merangkap Tuan Penasihat PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan, Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, AMK., BCK.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada PUSPANITA Negeri Kedah Darul Aman dan semua Ahli Jawatankuasa serta para ahli PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan atas kejayaan penganjuran pelbagai aktiviti dan program sepanjang tahun 2021 lalu.
Beliau juga berharap agar kerjasama erat dan komitmen tinggi ini diteruskan dalam merancang dan melaksana pelbagai aktiviti dan program bagi tahun 2022 dan tahun - tahun seterusnya.
Selain itu, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Wanita 2022 yang bertemakan Saksama Bersama kepada semua ahli mesyuarat yang diadakan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.
Beliau turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan bagi Penggal 2020-2021 lalu.
Mesyuarat seterusnya dipengerusikan oleh Puan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan, Puan Amila Binti Ahmad.
Antara agenda mesyuarat yang dibincangkan termasuklah pembentangan Penyata Kewangan berakhir 31 Disember 2021, pelantikan AJK dan Biro - biro bagi Penggal Tahun 2022-2023, pembentangan Laporan Aktiviti Tahun 2021, perancangan senarai cadangan aktiviti / program Tahun 2022 dan hal-hal lain yang berkaitan PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan.
Puan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan merakamkan rasa syukur dan ucapan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Jawatankuasa, Biro-biro dan semua ahli yang terlibat dalam menjayakan semua aktiviti sepanjang tahun 2021 yang lalu.
Beliau turut mengingatkan semua ahli untuk sentiasa mengamalkan pembudayaan normal baharu dan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dan KKM dalam mendepani pandemik Covid-19 pada masa ini.
Selain itu, beliau turut berharap agar PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan sentiasa memperkukuhkan kerjasama erat sesama ahli dalam menjayakan semua aktiviti yang dirancang diadakan pada tahun 2022 ini dan tahun-tahun mendatang.
Mesyuarat kemudiannya diakhiri dengan sesi bergambar Tuan Penasihat dan Puan Pengerusi bersama Ahli - ahli Jawatankuasa PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan bagi penggal Tahun 2022-2023.
Tahniah dan terima kasih untuk seluruh warga PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan.
SELAMAT HARI WANITA 2022 - SAKSAMA BERSAMA