20.8.22

MAJLIS "BOLLYWOOD NIGHT" PUSPANITA NEGERI KEDAH DARUL AMAN

20 OGOS (SABTU)

- Majlis Makan Malam anjuran PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah yang bertemakan Bollywood ini telah berlangsung pada 20 Ogos 2022 (Sabtu) bermula jam 8.00 malam bertempat di Raia Hotel Convention Centre, Alor Setar, Kedah.
PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan turut tidak ketinggalan untuk menghantar 20 orang ahli PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan untuk menghadiri majlis tersebut.
Majlis ini dimulakan dengan persembahan tarian selamat datang dan seterusnya ucapan aluan oleh Yang Berbahagia Datin Noor Afza binti Osman, Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah.
Sambil menikmati juadah jamuan yang disediakan, aturcara majlis turut diserikan dengan pelbagai acara pentas, termasuklah persembahan tarian dan nyanyian untuk memeriahkan majlis ini.
Sempena majlis ini juga, PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah juga
menganjurkan PUSPANITA Kedah Talentime bagi mencungkil dan menyerlahkan bakat para ahli PUSPANITA di
samping berhibur sepanjang majlis ini berlangsung.
PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan turut menghantar wakil bagi persembahan tarian dan nyanyian lagu yang menampilkan persembahan yang
hebat
dan sangat menarik serta berjaya memukau para hadirin yang hadir pada malam tersebut.
Acara selanjutnya diteruskan lagi dengan menjemput 10 orang peserta yang dipilih secara rawak untuk naik ke pentas bagi menyertai Bollywood Challenge : Queen Of The Night. Pemenang dipilih berdasarkan pakaian yang menepati tema majlis dan peserta juga perlu membuat gerak tarian ala Bollywood sebagai markah tambahan.
Seterusnya, acara yang paling dinantikan iaitu Pengumuman dan Penyampaian Hadiah beberapa kategori iaitu Pemenang Bollywood Challenge : Queen of the Night, Pemenang PUSPANITA Kedah Talentime, Anugerah PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Cemerlang, Anugerah Biro PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah Cemerlang, Anugerah PUSPANITA Jabatan di Negeri Kedah Cemerlang, Anugerah Ahli PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah Cemerlang dan Anugerah Laman Web PUSPANITA Cemerlang.
PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan telah berjaya merangkul tempat pertama bagi Anugerah Laman Web PUSPANITA Cemerlang dan Saguhati PUSPANITA Kedah Talentime (nyanyian dan tarian). Setinggi-tinggi tahniah diucapkan atas kemenangan tersebut.
Acara terakhir yang merupakan acara kemuncak yang ditunggu-tunggu ialah sesi cabutan bertuah. Sebanyak 8 hadiah disediakan yang merupakan perhiasan wanita iaitu barangan kemas berjenama Habib, jam tangan dan hadiah utama merupakan sebuah basikal.
Manakala bagi acara penutup adalah ucapan khas oleh Yang Berbahagia Datin Paduka Hariyanti binti Amit, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah. Seterusnya disusuli dengan persembahan tarian akhir oleh para ahli PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah.
Tidak ketinggalan sebelum pulang, para warga PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan turut mengambil peluang untuk bergambar kenang-kenangan bersama Yang Berbahagia Datin Paduka Hariyanti binti Amit, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah.
Majlis yang gilang gemilang ini dihadiri oleh Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan (Puan Amila Binti Ahmad), Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Tanah) / Timbalan Pengerusi 1 PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan (Puan Noorul Azyyati Binti Ahmad Salmi, BCK.) serta 20 orang warga PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada penganjur iaitu PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah atas penganjuran majlis yang sangat cemerlang dan meriah.
Tidak lupa juga ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua warga PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan yang memberi komitmen yang tinggi dalam membuat persediaan persembahan (tarian dan nyanyian) dan semua yang hadir memeriahkan majlis berkenaan.
Semoga majlis seumpama ini dapat mengukuhkan ikatan silaturahim di samping memupuk kerjasama erat sesama para warga PUSPANITA di seluruh Negeri Kedah.
TAHNIAH &
TERBAIK
PUSPANITA YAN!!!