17.7.22

KARNIVAL JELAJAH AGENDA NASIONAL MALAYSIA SIHAT(ANMS) SEMPENA SAMBUTAN BULAN HEPATITIS DAN HARI MALARIA PERINGKAT NEGERI KEDAH TAHUN 2022

16 JULAI 2022 (SABTU)

- Jabatan Kesihatan Negeri Kedah Darul Aman, Pejabat Kesihatan Daerah Yan dengan kerjasama Pejabat Daerah Tanah Yan dan Majlis Daerah Yan telah menganjurkan  Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat(ANMS) Sempena Sambutan Bulan Hepatitis Dan Hari Malaria Peringkat Negeri Kedah Tahun 2022 pada 16 Julai 2022 (Sabtu) bertempat di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, Yan Kedah.

Karnival ini terbuka kepada orang ramai dengan pelbagai aktiviti menarik bermula jam 7.30 pagi sehingga 2.00 petang. 

Program dimulakan dengan pendaftaran peserta seterusnya diikuti dengan aktiviti senamrobik dan pelepasan fun walk dan fun ride oleh Pegawai Kesihatan Daerah Yan. 

Selain itu juga, saringan kesihatan percuma turut disediakan. Para pengunjung boleh mendapatkan pemeriksaan gula dan kolestrol dalam darah, pemeriksaan indeks jisim jasad dan juga pemeriksaan tekanan darah di beberapa kaunter perkhidmatan yang telah disediakan.

Bukan itu sahaja, orang ramai boleh melawat pameran pelbagai jabatan / agensi dan mendapatkan pemeriksaan gigi percuma. 

Pelbagai perkhidmatan lain turut disediakan seperti kaunseling ubat-ubatan, ujian kecergasan, saringan minda sihat, kempen derma darah dari Unit Transfusi dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Yan, germ buster dan beberapa booth permainan interaktif pada hari ini. Cabutan bertuah juga turut disediakan kepada semua pengunjung. Ia kemudiannya disusuli dengan pocket talk bertajuk Hepatitis C dan taklimat oleh Duta Malaria.

Karnival ini turut dimeriahkan dengan pertandingan sukaneka, pertandingan mewarna kanak-kanak,  pertandingan menu sihat  dan gubahan kreatif.

PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan turut mengambil bahagian di dalam pertandingan menu sihat bertemakan Salad. Seramai lapan orang ahli - ahli PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan iaitu Puan Cik Jamalia binti Mat Jamil, Puan Nurul Husna binti Mohamad Nasir, Puan Ainaa Hazwani bt Radzi, Puan Aslinda binti Mat Dali, Puan Siti Aminah binti Lahmin, Puan Nurul Fatihah binti Harun, Puan Siti Noor Atika binti Rosli dan Cik Nuruljannah bt Abdullah yang melibatkan empat (4)  kumpulan telah berentap bersama-sama para peserta lain untuk merebut hadiah yang ditawarkan. 

Program ini telah dirasmikan dan disempurnakan gimik pelancaran oleh YB Dato’ Dr Mohd Hayati bin Othman, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah dan dihadiri oleh Tuan Pegawai Daerah Yan / Yang Dipertua Majlis Daerah Yan merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan [Tuan Mohamad Subhi bin Abdullah, AMK., BCK.], YB ADUN Sungai Limau [Ustaz Mohd Azam bin Abd Samat], Pegawai Kesihatan Daerah Yan, Ketua-ketua Jabatan, Penghulu-penghulu Mukim, ahli-ahli PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan, para warga kerja pelbagai jabatan / agensi, pelbagai lapisan masyarakat dan para wanita dari seluruh mukim di Daerah Yan.

YB Dato Dr Mohd Hayati bin Othman turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Mewarna, Menu Sihat dan Gubahan Kreatif serta penyampaian Sijil Duta Malaria dan para pemenang cabutan bertuah.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada dua orang ahli PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan iaitu Puan Ainaa Hazwani binti Radzi dan Cik Nuruljannah binti Abdullah  yang berjaya memperolehi tempat ketiga dalam Pertandingan Masakan Menu Sihat serta semua pemenang-pemenang lain. 

Jutaan terima kasih dirakamkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah Yan serta semua jabatan / agensi yang terlibat atas kelancaran dan kejayaan penganjuran program yang sangat berfaedah dan bermanfaat seperti ini, khususnya kepada para ahli PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan, golongan wanita serta seluruh lapisan masyarakat di Daerah Yan pada amnya. 

Semoga program seumpama ini dapat diteruskan dan menjadi agenda tahunan, seterusnya dapat mengukuhkan ikatan silaturrahim di samping memupuk kerjasama erat antara pelbagai jabatan / agensi bersama masyarakat.

#KeluargaMalaysia
#patuhisop
#kitajagakita
#lindungdirilindungsemua
#puspanitadaerahyan
-